Pages

MAJLIS UNTAIAN KASIH 2011: PENGHARGAAN PELAJAR KEPADA GURU

Februari 1 - Menghargai guru yang mendidik merupakan satu nilai yang sering diterapkan kepada para pelajar hari ini. Penghargaan ini tidak semestinya dipersembahkan dalam bentuk kebendaan, penghargaan yang ikhlas secara lisan pastinya akan mengorak kelopak gembira di taman hati setiap individu yang bergelar guru. 

MAJLIS PERLANTIKAN PENGAWAS, PENGAWAS PERPUSTAKAAN, BADAR DAN PRS 2011


Januari 25 - Majlis Perlantikan Pengawas, Pengawas Perpustakaan, BADAR dan Pembantu Rakan Sebaya 2011, SBP Integrasi Jempol telah berjaya dilaksanakan dalam satu majlis ringkas yang diadakan pada pagi hari ini. Majlis yang mengiktiraf pelajar dalam melancarkan aktiviti yang dianjurkan ini telah disempurnakan oleh Tuan Pengetua SBPIJ, Puan Hajah Zainun Bt Abdullah. Beliau telah menyampaikan watikah perlantikan kepada setiap wakil badan pelajar yang terlibat sebelum bacaan ikrar dimulakan. Semoga perlantikan ini akan melahirkan pelajar yang bertanggungjawab terhadap diri, masyarakat, bangsa dan negara. 

LDP: PEMBINAAN ITEM BERKUALITI

Januari 19 - Latihan Dalam Perkhidmatan telah diadakan pada hari ini di Bilik Mesyuarat al-Mukhlisin, SBP Integrasi Jempol pada hari ini. Kursus yang membawa tajuk Pembinaan Item Berkualiti ini telah di sampaikan oleh Penolong Kanan 1, SMK Bahau 2 yang juga merupakan penggubal soalan di Lembaga Peperiksaan Malaysia. Dalam kursus ini beliau tidak lokek untuk berkongsi pengetahuan dalam membina soalan yang berkualiti untuk menguji kefahaman pelajar dalam pembelajaran mereka. Beliau sangat menekankan penggunaan Huraian Sukatan Pelajaran sebagai asas pembinaan soalan. Semoga usaha yang dijalankan akan terus meningkatkan profesionalisme guru dan menjulang kecemerlangan akademik sekolah. 

MINGGU SILATURRAHIM PELAJAR TINGKATAN 4 AMBILAN PERTAMA 2011

RANDAI


Februari 21 - Program silaturrahim pelajar baru tingkatan 4, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol telah berakhir malam tadi dengan penuh gilang gemilang. Minggu silaturrahim pelajar baru tingkatan 4 telah diisi dengan pelbagai program yang menarik yang memberikan pendedahan tentang kehidupan di sekolah berasrama penuh. Sesi ice breaking, kuiz, permainan, explorace dan bermacam lagi acara diadakan sebagai pengisian program yang berlangsung. 

PERHIMPUNAN KO-KURIKULUM KALI KEDUA TAHUN 2011



Februari 16 - Perhimpunan ko-kurikulum kali kedua bagi tahun 2011 telah dikendalikan oleh Persatuan Pengakap SBP Integrasi Jempol. Majlis yang dimulakan dengan bacaan doa diteruskan dengan pembacaan sejarah penubuhan persekutuan Pengakap. Pasukan Pengakap SBPIJ telah mempersembahkan kawad kaki yang menarik sebagai persembahan pada pehimpunan kali ini. Syabas dan tahniah diucapkan kepada pasukan Pengakap SBPIJ yang berjaya mengendalikan majlis ini dengan baik. 



PENDAFTARAN PELAJAR TINGKATAN 1 AMBILAN KEDUA 2011

Februari 16 - Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol (SBPIJ) terus menerima warga baru, pelajar tingkatan 1. Pendaftaran yang dijalankan di Dewan Hamka al-Kubra, SBPIJ bermula pada jam 9.00 pagi berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama dari semua yang terlibat. Semoga warga baru SBPIJ ini akan meneruskan tradisi kecemerlangan SBPIJ dan menjulang nama SBPIJ di persada pendidikan negara. 

PERSEDIAAN ANUGERAH ASRAMA TERBILANG 2011

Oleh: Norisyam Aris 
Papan Kenyataan Rumah Tariq B Ziad 


Februari 15 - Menyahut cabaran Anugerah Asrama Terbilang 2011, seluruh pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol (SBPIJ) berusaha untuk membersih dan memperindahkan kawasan asrama putera dan putera hari ini. Pelbagai maklumat dan hiasan disediakan oleh setiap pelajar bagi menceriakan suasana di dormitori masing-masing yang memperlihatkan kreativiti yang pelbagai. Penyertaan anugerah ini telah merubah landskap kawasan persekitaran asrama kepada yang lebih baik. Diharapkan keceriaan dan kebersihan ini akan bertahan sepanjang tahun dan menciptakan suasana asrama yang lebih kondusif dan menarik. 

MERIAH: SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SBPIJ 2011

Oleh: Norisyam Aris 


Feb 03 - Sambutan Maulidur Rasul 2011 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol berlangsung dengan penuh meriah. Sambutan yang menjadi acara tahunan ini disertai oleh semua pelajar dan guru-guru SBPIJ. Bagi memeriahkan sambutan ini, Pertandingan Madih dan Selawat diantara rumah telah diadakan. Setiap pasukan bukan sahaja berusaha mengalunkan selawat dan madih, tetapi juga menyediakan persalinan terbaik. Sambutan yang dimulakan dengan pertandingan Selawat dan Madih diteruskan dengan perarakan setiap pasukan rumah yang diketuai oleh pihak pentadbir sekolah. Usai perarakan, satu majlis ilmu iaitu Ceramah Maulidur Rasul telah diadakan di surau ar Raudah, SBP Integrasi Jempol. Setinggi penghargaan dan tahniah diucapkan kepada pengelola sambutan ini dan semua warga SBPIJ yang terlibat dalam menjayakannya. 

PELAJAR PEREMPUAN MENYEDIAKAN PAKAIAN PESERTA