Februari 1 - Menghargai guru yang mendidik merupakan satu nilai yang sering diterapkan kepada para pelajar hari ini. Penghargaan ini tidak semestinya dipersembahkan dalam bentuk kebendaan, penghargaan yang ikhlas secara lisan pastinya akan mengorak kelopak gembira di taman hati setiap individu yang bergelar guru.
Rasa terima kasih itu telah diterjemahkan oleh pelajar tingkatan 4 SBP Integrasi Jempol yang telah buat julung kalinya menganjurkan Majlis Untaian Kasih untuk guru-guru SBPIJ. Menurut wakil pelajar tingkatan 4, majlis ini diadakan oleh bekas pelajar tingkatan 3 tahun 2010 (yang kini berada ditingkatan 4) kerana telah mendidik mereka sehingga mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR.
Di majlis ini, wakil pelajar tingkatan 4, Muhd Luqman Hakim telah menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua guru SBPIJ. Ucapan balas penghargaan daripada pihak guru telah disampaikan oleh tuan pengetua, Puan Hajah Zainun Bt Abdullah. Di majlis yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar tingkatan 4, guru-guru telah dijamu dengan hidangan yang enak dan sedikit cenderamata.
No comments:
Post a Comment